August 16, 2010

hari ke-3 puasa




KUALA LUMPUR: Kejadian ribut yang melanda Jasin, Melaka pada Jumaat lalu adalah kesan daripada Monsun Barat Daya dan bukannya fenomena luar biasa.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Alui Bahari berkata, Monsun Barat Daya, yang berlaku dari Mei hingga September di Semenanjung Malaysia akan mengalami kejadian ribut petir yang kadangkala boleh mengakibatkan kerosakan harta benda.


"Kejadian ribut di Jasin bukannya fenomena luar biasa kerana ia sama seperti kejadian petir yang boleh membahayakan diri seseorang sekiranya mereka berada di kawasan berdekatan besi, padang dan pokok," katanya di sini hari ini. Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian itu di Bazar Ramadan di perkarangan Stadium Jasin, Melaka, mengakibatkan dua peniaga dan seorang pengunjung terbunuh, manakala 18 cedera dihempap khemah yang diterbangkan ribut.


Dua peniaga yang terbunuh itu ialah Mahadi Mohamad, 40, berasal dari Kampung Gong Merang, Terengganu; Abdul Omar, 73, dari Kampung Air Merbau, Jasin, Melaka dan pengunjung Muhammad Wahab, 49, dari Kampung Rim, Jasin, Melaka.


Alui berkata, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai kejadian itu tetapi mereka perlu sentiasa mengambil langkah-langkah keselamatan sekiranya kejadian ribut berlaku pada masa akan datang antaranya jangan berada di kawasan berdekatan pokok.


"Selain itu, beliau juga menasihatkan orang ramai agar jangan berada berdekatan gerai-gerai makanan yang boleh menyebabkan peralatan berterbangan serta jangan memandu kenderaan atau menunggang motosikal," katanya.


Beliau berkata, tindakan terbaik adalah berada di dalam sebuah bangunan.


Alui berkata, jabatan itu hanya dapat meramalkan cuaca dan bagaimanapun kadangkala ramalan itu tidak tepat.


"Oleh itu, orang ramai perlu sentiasa mengambil langkah berhati-hati untuk mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.


Katanya, maklumat lanjut berkenaan cuaca boleh diperoleh dengan menghubungi jabatan itu di talian 
 03-79678000.-Bernama 

(petikan harian metro)

No comments: